Bayi tidak mahu menyusu badan? Adakah ibu-ibu sedang merasakan perkara sebegini? Berbagai perasaan yang ibu mula rasakan. Ada yang mula panik dan risau dan tidak kurang juga ada yang mula merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Manakan tidak, tidak ke si ibu berasa hairan bila anaknya elok sahaja menyusu badan. Tetapi lama kelamaan, anak mula menolak puting untuk menyusu badan. Pastilah si ibu berasa takut bila anda tidak mahu menyusu badan secara tiba-tiba kerana takutkan anak berasa lapar atau ada perkara yang anak cuba sampaikan tetapi ibu tidak mengetahui mengapa agaknya dengan anak mereka.
Daripada si ibu berteka teki, lebih baiklah jika ibu mengetahui punca sebenar kenapa bayi tidak mahu menyusu badan. Mungkin juga ibu mempunyai sangkaan yang ibu sendiri yang bermasalah sampaikan anak tidak mahu menyusu badan.
Jangan khuatir para ibu, ini antara punca-puncanya.
PUNCA BAYI TIDAK MAHU MENYUSU BADAN
Bayi yang tidak mahu menyusu badan seringkali dikaitkan dengan breast-feeding strike atau dalam erti kata lain mogok. Mungkin bayi ada beberapa perkara yang mereka ingin beritahu, jadi inilah caranya untuk anak anda memberitahu anda.
1. BAYI BERASA TIDAK SELESA ATAU SAKIT
Kalau bila bayi menyusu badan dan dia mula tolak, besar kemungkinan anak anda sedang nak tumbuh gigi atau mungkin selsema. Perkara-perkara ini menyebabkan ketidakselesaan mula berlaku. Dengan ini bayi akan menjadi tidak selesa ketika hendak menyusu badan.
2. BAGI BANYAK SUSU FORMULA
Apabila si ibu terlalu banyak beri susu formula, anak akan berasa kenyang dengan susu formula. Sampaikan anak anda langsung tidak mahu menyusu badan. Lagi satu, kalau anda terlalu memberikan anak anda puting bayi atau pacifier pun anak anda akan lagilah tidak mahu menyusu badan dan tidak mahu terima susu ibu.
3. PERUBAHAN PADA BAU DAN RASA
Anak anda boleh mengesan perubahan tau jika rasa susu badan ibu berubah ataupun dari segi bau badan ibu. Jika si ibu memakan makanan yang berbeza, atau sedang datang haid, atau sedang mengambil ubat. Ia akan menyebabkan bayi tidak mahu menyusu badan. Bau juga boleh mempengaruhi bayi. Perubahan pada bau si ibu seperti bau minyak wangi, bau sabun badan atau deodoran yang berlainan pun boleh buatkan bayi tidak mahu menyusu badan.
4. HIDUNG TERSUMBAT
Jika bayi mengalami demam selsema atau hidung berair yang menyebabkan bayi mendapat hidung tersumbat, alamatnya memang susahlah anak anda nak menyusu sebab sukar nak bernafas.
5. STRESS ATAU GANGGUAN
Bayi pun boleh mendapat stress sebenarnya. Apatah lagi apabila melibatkan ibu jika ibu berjauhan dengannya begitu lama, atau lambat beri susu. Jika tempat anda menyusu mempunyai banyak gangguan seperti bunyi bising, ia turut boleh mengganggu bayi.
Adakah ia sesuatu yang normal?
Ibu-ibu, bayi tidak mahu menyusu badan ini sememangnya normal dan biasa berlaku dalam kalangan bayi. Mudah untuk si ibu berasa risau atau menyangkakan bahawa si anak sudah mahu bercerai susu dengan ibu. Ini perlulah ibu-ibu semak terlebih dahulu punca. Jangan terus buat sangkaan sahaja.
Malah, disebabkan takut anak berasa lapar, terus ibu-ibu berikan botol susu tanpa henti kerana menyangkakan yang anak tidak mahu susu badan terus.
Harus diingatkan kepada ibu-ibu bahawa bayi tidak mahu menyusu badan ini atau breast-feeding strike adalah merupakan satu perkara yang bersifat sementara. Anak anda masih boleh menyusu badan jika anda lakukan beberapa perkara ini.
Apa yang si ibu patut lakukan jika bayi enggan menyusu?
1. PAM SUSU BADAN
Jika anak anda tidak mahu menyusu dengan menggunakan badan, anda masih boleh memberikan anak anda susu badan dengan cara lain seperti memberi anak minum dengan menggunakan sudu atau botol.
2. TUKAR POSISI ATAU BERSIHKAN HIDUNG BAYI
Kalau anak anda tidak selesa semasa menyusu badan, anda boleh tukar posisi anak anda menyusu. Selain itu, jika hidung bayi anda tersumbat, anda boleh bersihkan hidung anak terlebih dahulu.
3. JANGAN BERPUTUS ASA
Anak anda tidak mahukan susu badan? Jangan putus asa, berikan susu badan pada masa anak anda tenang atau waktu anak anda sudah mula mengantuk.
4. HILANGKAN GANGGUAN
Beri anak menyusu badan di tempat yang tidak mempunyai gangguan.
5. FOKUS PADA IBU
Adakah ibu mengambil ubat atau apa sahaja yang menyebabkan bayi hilang minat untuk menyusu badan? Jika ya, ibu kena fokus pada diri ibu dulu. Jika bayi anda masih enggan menyusu pada waktu yang lama, atau lampin anak anda tidak basah seperti selalu, anda boleh berjumpa doktor.
No comment yet, add your voice below!