Skip to content

BAYI MENGIGIT KETIKA MENYUSU

Bagi sesetengah ibu baharu, pasti akan berasa seram untuk membayangkan proses penyusuan badan ketika bayi sudah mempunyai gigi. Pastinya ia sesuatu yang menyakitkan. Mungkinkah perlu menghentikan penyusuan badan?

Alamak, janganlah sampai begitu. Gigi bayi yang tumbuh sepatutnya tidak memberikan kesan yang berlebihan kepada proses penyusuan. Malahan pada ketika bayi berasa gusi tidak selesa kerana gigi mahu tumbuh, mungkin menyusu secara terus dari payudara merupakan sumber ketenangan terbaik buat si manja.

Berikut adalah beberapa tip yang boleh anda cuba untuk mengelakkan si kecil daripada menggigit agar proses penyusuan berjalan lancar:

1. GUNAKAN MAINAN GIGI

Berikan si manja mainan gigi (teething toys) untuk mereka gigit atau kunyah beberapa minit sebelum memulakan proses penyusuan. Ataupun cara tradisional juga boleh membantu. Gunakan kain bersih yang dibasahi dengan air sejuk dan diletakkan di dalam peti sejuk selama beberapa minit, kemudian gosokkan secara lembut jari yang bersih pada gusi bayi bagi memberikan kelegaan sementara. Sekiranya bayi anda berusia lebih 6 bulan dan sudah makan makanan pejal, mungkin dia akan menyukai makanan sejuk seperti pisang yang dibekukan.

2. PERIKSA LEKAPAN PENYUSUAN

Bayi yang menyusu dengan teknik lekapan yang betul pastinya tidak boleh menggigit. Jadi anda perlu memastikan ia dilakukan dengan betul. Namun adakalanya, walaupun teknik lekapan betul, bayi mungkin masih akan menggigit puting anda. Ini terutamanya jika mereka tertidur ketika menyusu dan berasa puting seperti terkeluar daripada mulut. Ia tindakan refleks semula jadi. Jadi untuk menghindari situasi ini, pastikan anda menarik keluar puting daripada mulut si manja sebelum mereka tertidur atau sebaik sahaja mereka melelapkan mata. Jangan terleka atau puting anda akan menjadi mangsa gigitan mereka!

3. SALAH FAHAM

Adakalanya gigitan yang berlaku mungkin disebabkan salah faham. Bayi anda mungkin memerlukan sesuatu untuk menggigit kerana berasa gatal pada gusi dan bukannya mahu menyusu. Jadi untuk mengelakkan sebarang salah faham dan kejadian yang tidak diingini akibat bayi menggigit ketika menyusu, anda boleh cuba memberikan si kecil jari anda (pastikan bersih, okay?). Jika mereka menghisap, bermakna mereka lapar dan bersedia untuk proses penyusuan. Sekiranya mereka menggigit, berikan mainan gigi kepada mereka.

4. PERHATIKAN TANDA KEKENYANGAN

Tabiat menggigit biasa berlaku apabila si kecil sudah kenyang dan hilang keinginan untuk menyusu. Jadi perhatikan sebarang tanda yang menunjukkan dia sudah kenyang seperti berhenti menghisap atau terlelap. Bawakan si kecil jauh daripada payudara bagi mengurangkan peluangnya untuk menggigit

5. BERIKAN PERHATIAN

Adakalanya bayi akan menggigit apabila anda tidak menumpukan perhatian kepadanya, seperti leka dengan panggilan telefon atau menonton televisyen. Cuba untuk memberikan perhatian kepada si manja saat menyusu dan perhatikan jika ia membantu mengurangkan tabiat menggigitnya.

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment